Biografi ringkas Hugues_Capet_dari_Perancis

Dilahirkan di Paris kepada Hugh Agung dan Hedwige dari Saxony, keluarga Hugh Capet adalah berkuasa serta berpengaruh, dan daripada golongan bangsawan Germanik di Perancis. Dua ahli keluarganya telah dipilih sebagai Raja Perancis pada abad ke-9 dan ke-10. Datuk nenek sebelah ayahnya ialah Robert I dari Perancis dan Beatrix dari Vermandois (anak perempuan Herbert I dari Vermandois), manakala datuk nenek sebelah ibunya ialah Henry si Pemburu Burung dan Matilda dari Ringelheim.

Pada tahun 956, Hugh mewarisi harta pusaka ayahnya dan menjadi bangsawan yang paling berkuasa pada masanya. Dari tahun 978 hingga tahun 986, Hugh Capet bersekutu dengan maharaja-maharaja Jerman, Otto II dan Otto III, serta dengan Ketua Biskop Adalberon dari Reims untuk menguasai Lothair, raja Carolingian yang lemah. Menjelang tahun 985, beliau telah menjadi raja tanpa gelaran sahaja. Selepas Lothair dan puterinya mangkat pada awal tahun 987, Adalbero (ketua biskop dari Reims) meyakinkan perhimpunan bangsawan supaya memilih Hugh Capet sebagai raja. Hugh Capet dimahkotai di Noyon, Picardie pada 31 Julai 987, dan merupakan raja pertama dinasti Capet untuk memerintah Perancis.

Hugh Capet memiliki sedikit harta tanah dekat Chartres dan Anjou, dan di antara Paris dan Orleans, baginda memiliki bandar-bandar dan ladang-ladang seluas lebih kurang 400 batu persegi (1,000 kmĀ²). Kuasanya terhad kepada kawasan ini sahaja dan jika Hugh Capet berani keluar dari kawasan ini, baginda akan menghadapi bahaya diculik dan ditahan untuk mendapatkan wang tebusan atau juga dibunuh.

Pada tahun 993, biskop dari Laon dan Odo I dari Blois berkomplot untuk menangkap Hugh Capet supaya dibawa dalam tahanan Otto III. Komplot itu gagal, tetapi fakta bahawa tiada sesiapa yang dihukum menggambarkan betapa lemah kuasa Hugh Capet. Di luar asas kuasanya, masih terdapat banyak kanun dan tanah feudal. "Negara" Hugh Capet beroperasi dengan 150 jenis mata wang yang berbeza dan sekurang-kurangnya sedozen bahasa. Menyatukan kesemua ini menjadi satu unit yang padu merupakan satu tugas yang sukar dilaksanakan, dan terdapatnya satu perebutan yang berterusan antara mereka yang memakai mahkota dengan golongan bangsawan feudal. Oleh itu, pemerintahan Hugh Capet mengalami banyak perebutan kuasa dengan negeri-negeri lindungannya di sempadan Seine dan Loire.

Di luar kawasan Hugh Capet, istiadat permasyhuran dan kemudiannya penggulingan Arnulf (anak saudara lelaki kepada duke Lorraine) sebagai ketua biskop untuk Reims mengakibatkan pertikaian antara baginda dan biskop-biskopnya dengan Paus John XV. Pertikaian itu masih tidak dapat diselesaikan pada kemangkatan Hugh Capet dalam tahun 996. Sedangkan kuasa ketenteraan Hugh Capet terhad dan baginda terpaksa meminta bantuan ketenteraan daripada Richard I dari Normandy, pemilihannya sebagai raja dengan undi sebulat suara memberikannya kuasa moral dan pengaruh yang amat besar.

Hugh Capet mangkat pada 24 Oktober 996 di Paris, dan dikebumikan di Gereja Santo Denis. Baginda diwarisi oleh puteranya, Robert II.